Friday, February 19, 2010

Kerosakan kapal selam pertama negara sudah diperbaiki


Kerosakan pada sistem saluran air bertekanan tinggi pada kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman sudah diperbaiki sepenuhnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa kapal selam itu sudah boleh menyelam semula semalam bagi memulakan ujian perairan tropika pertamanya sejak tiba ke tanah air pada 3 September tahun lalu.

"Pihak pembekal yang membaiki kerosakan itu mengesahkan ia sudah dibaiki.

''Bahkan, saya dijemput untuk menyertai anak kapal itu menyelam pada Isnin ini bagi membuktikan KD Tunku Abdul Rahman bersedia untuk sebarang operasi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Hadir sama Panglima ATM, Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid menjelaskan, proses memperbaiki kerosakan itu tidak melibatkan sebarang kos kerana kapal selam itu masih dalam jaminan syarikat pembuat iaitu DCNS.

"Kita mengakui wujud sedikit masalah tetapi ia bukanlah isu yang patut diperbesarkan kerana kerosakan yang timbul adalah kerosakan mekanikal.

"Bagi sistem persenjataan yang sensitif seperti kapal selam, perkara seperti ini boleh berlaku tetapi yang penting rakyat perlu sedar bahawa kita mempunyai tenaga pakar yang dilantik bagi membaiki semua kerosakan yang berlaku," jelasnya.

Ditanya sama ada kerosakan itu mungkin disebabkan faktor perairan tropika, kerana sebelum ini tiada kerosakan semasa latihan di Perancis, Ahmad Zahid memberitahu, kemungkinan itu tidak boleh dinafikan.

Dalam pada itu, beliau menyelar sesetengah penulis blog yang terlalu ghairah mendedahkan rahsia sulit ketenteraan kepada pihak umum.Menurutnya, pihak tersebut perlu faham bahawa tidak semua rahsia ketenteraan negara boleh didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan faktor keselamatan negara selain menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan ATM.

Kerosakan pada KD Tunku Abdul Rahman didedahkan oleh Abdul Aziz baru-baru ini apabila memberitahu sistem saluran air bertekanan tinggi menyebabkan aset strategik itu tidak boleh menyelam kerana dikhuatiri membahayakan.

Kerosakan tersebut adalah kerosakan mekanikal kedua selepas kapal yang sama pernah mengalami masalah di bahagian sistem penyejuk air laut tetapi telah dibaiki pada 17 Disember lalu.

Negara membeli dua buah kapal selam Scorpene buatan Perancis dengan kerjasama Sepanyol yang dinamakan sebagai KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak.

Scorpene yang diperoleh negara merupakan kapal selam tempur berenjin diesel antara paling canggih di dunia pada masa kini.

Selain dilengkapi sehingga 18 torpedo, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak juga boleh melancarkan peluru berpandu anti-kapal permukaan Exocet SM-39.

Pada masa masa kapal selam itu turut membawa 30 pemusnah periuk api serta mampu menyelam sehingga kedalaman 300 meter.

--Utusan Malaysia

Ternyata ilmu yang ditimba di Perancis telah diterapkan secara mendalam oleh anak-anak kapal selam kita sehingga berjaya mengesan kerosakan kecil tersebut sebelum menjadi lebih kritikal

No comments:

Post a Comment