Saturday, November 14, 2009

MERIAM 155mm G5 TDM

Tentera Darat Malaysia adalah antara beberapa negara yang menggunakan sistem artileri atau meriam G-5 buatan Afrika Selatan bagi memberikan tembakan sokongan atau mengharu di medan tempur. Keputusan untuk memperolehi sistem meriam G5 dibuat oleh TDM pada tahun 2000. Meriam tersebut dibekalkan dengan sistem komputer kawalan tembakan AS2000. Untuk mempertingkatkan daya mobilitinya setiap meriam dipadankan dengan kenderaan jenis MAN 6x6 buatan Jerman yang telah diubah reka bentuk kabinnya oleh firma tempatan DEFTECH agar dapat memenuhi kehendak tugasan khas membawa sistem meriam G5.
Perolehan dilakukan dalam tempoh jangkamasa tiga tahun. Penghantaran pertama G5 ke Malaysia dilakukan pada tahun 2001 dengan sejumlah 28 laras meriam, penghantaran kedua adalah pada tahun 2002 dengan 22 laras meriam dan penghantaran terakhir adalah pada 2003 dengan sejumlah enam meriam G5 yang terakhir.

Latar belakang

Meriam G-5 mempunyai sejarah yang agak unik kerana ia melibatkan isu pencipta sistem persenjataan tersebut yang penuh kontroversi. Reka bentuk dan sistem mekanikal asal meriam tersebut adalah dari sistem meriam GC-45 berkaliber 155mm yang telah dihasilkan oleh firma ‘Canadian Space Research Corporation’ dan diguna pakai oleh pihak tentera laut Thailand bagi kegunaan pasukan Marin mereka pada awal tahun 1970an apabila sejumlah 18 laras meriam diperolehi mereka. Individu yang bertanggungjawab mencipta meriam tersebut adalah Gerald Bull. Meriam GC-45 menjadi popular dan beberapa negara lain turut sama menghasilkan sistem yang hampir sama. Antaranya adalah firma NORICUM dari Austria yang menghasilkan meriam yang dinamakan sebagai GHN-45 dan juga pihak Afrika Selatan yang menghasilkan sistem meriam tersebut dengan klasifikasi sebagai G-5. Beberapa negara lain turut membina meriam masing-masing menggunakan teknologi artileri yang dihasilkan oleh Bull. Israel menghasilkan sistem meriam yang dinamakan Soltam 845P, Singapura dengan sisten ODE FH-88 dan China dengan meriam WA 021. Kerja-kerja beliau dengan rejim Kulit Putih di Afrika Selatan telah menarik perhatian Amerika Syarikat dan ketika Rumah Putih mula menyokong sekatan perdagangan persenjataan, pihak kastam Amerika Syarikat telah menahan Bull pada tahun 1980. Beliau kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama setahun kerana mengingkari perintah sekatan yang telah dikenakan terhadap Afrika Selatan oleh masyarakat global. Sebaik keluar dari penjara Bull telah berhijrah ke Belgium dan meneruskan kajian serta penciptaan sistem artileri yang lebih moden serta efektif.

Apabila Perang Iraq/Iran meletus, tentera Iraq mendapati bahawa sistem artileri mereka gagal menyaingi jarak serta keberkesanan sistem meriam Iran. Terdesak dengan keadaan ini, Iraq telah memesan sejumlah 110 meriam GHN-45 dari firma NORICUM di Austria 41,000 butir peluru dari Belgium. Antara tahun 1984 dan 1985 sejumlah besar dari meriam tersebut telahpun diperolehi oleh tentera Iraq, malah pada ketika itu jumlah sebenar meriam GHN-45 yang diperolehi oleh tentera Saddam Hussein diberitakan mencecah kepada 200 laras meriam. Perolehan tersebut bukanlah seseuatu yang mudah hendak dilaksanakan kerana pada ketika itu masyarakat dunia telah mengenakan sekatan senjata kepada kedua-dua negara yang bertelagah. Seperti yang berlaku di Angola ketika tentera Afrika Selatan dan gerila proksinya bertempur dengan tentera rejim Komunis Angola, tentera Iraq mendapati meriam ciptaan Bull mempunyai jarak dan kuasa tembakan yang amat efektif.