Wednesday, February 17, 2010

Mencari pengganti Inderapura

Kapal KD Sri Inderapura sebelum mengalami kebakaran (foto: Utusan Malaysia)

PEMODENAN aset-aset ketenteraan merupakan langkah ke arah mentransformasikan sesebuah pasukan angkatan tentera menjadi pasukan yang seimbang, berwibawa, bersepadu dan bersedia menghadapi cabaran dalam menghadapi sebarang konflik.

Tidak ketinggalan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang kini semakin giat melaksanakan pemodenan ketenteraan dengan penuh profesionalisme dalam usaha memperkukuhkan lagi struktur angkatannya.

Keunggulan ATM jelas terserlah apabila angkatan itu kini memiliki aset yang kukuh dengan bilangan kapal perang dan pesawat pejuang terbaru.

Perolehan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dalam inventori terkini angkatan itu misalnya menjadikan ATM semakin gah di mata dunia.

Pembelian beberapa aset untuk cabang-cabang perkhidmatan ATM juga amat tepat selaras dengan hasrat angkatan itu untuk menjadi satu organisasi yang cekap dan siapsiaga.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) misalnya sedang berusaha untuk membuat perolehan baru untuk keperluan operasi kerana faktor keusangan kapal-kapal perang yang telah dimamah usia melebihi 25 tahun dan penyerahan sebahagian kapal-kapal ronda sedia ada kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Aset terkini

Justeru, TLDM kini giat berusaha menambah aset terkini seperti perolehan kapal selam, kapal frigat pelbagai guna, kapal kecil 'Littoral Combatant Ship (LCS)', kapal frigat latihan, kapal penangkis periuk api dan helikopter anti kapal selam demi mempertingkatkan tahap kesiagaan setanding negara jiran.

Sehubungan itu, TLDM sejak lima tahun lalu telah pun merencanakan program memperoleh kapal logistik pelbagai guna terutama bagi melengkapi kegunaan Pasukan Angkatan Bersama (PAB) kerana kapal-kapal sedia ada tidak mampu menampung keperluan tersebut.

Malah, kegunaan mendesak bagi Operasi Fajar mengawasi keselamatan kapal-kapal dagang di Teluk Aden di Somalia menyaksikan TLDM melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) terpaksa mengubah suai kapal kontena Bunga Mas 5 milik MISC Bhd. sebagai kapal bantuan pelbagai guna.

Sehubungan itu, Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa (MIEC) Langkawi pada 1 hingga 5 Disember lalu dilihat sebagai platform terbaik untuk TLDM mencari aset barunya dengan menjadikan kapal-kapal perang asing yang hadir sebagai panduan.

Kebanyakan kapal asing yang datang berlabuh di Awana Porto Malai di Pulau Langkawi itu merupakan kapal sokongan pelbagai guna (MSS) yang mempunyai pelbagai fungsi dan TLDM dilihat perlu memilikinya sebagai aset ketenteraan negara yang baru.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sememangnya sedang mempertimbangkan untuk memiliki tiga kapal MSS menjelang 2015 bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di perairan negara.

Langkah itu, katanya, diperkukuhkan lagi dengan kejadian kapal pengangkut milik TLDM, iaitu KD Sri Inderapura yang terbakar ketika berlabuh di Pangkalan TLDM Lumut pada 8 Oktober tahun lalu.

"Jadi ketika ini negara hanya memiliki sebuah kapal pengangkut iaitu KD Sri Indera Sakti dan dengan itu ATM berpendapat negara harus memiliki kapal lain yang mempunyai pelbagai fungsi selain kapal pengangkut," katanya.

Antara kapal perang asing yang hadir memeriahkan segmen maritim sempena LIMA 2009 lalu ialah dua kapal dari Pakistan iaitu PNS Khaibar dan PNS Moawin, ROKS Chungmugong Yi Sun Shin dan ROKS Dokdo dari Korea dan BRP Quezon dan BRP Dagupan City dari Filipina.

Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) pula menghantar kapal pemusnah USS Mustin, Singapura pula dengan Formidable, Australia dengan HMAS Glenelg, Thailand (HTMS Songkhla) dan INS Kesari dari India.

Kesemua kapal asing itu mempunyai kelebihan dan kecanggihannya yang tersendiri.

Persoalannya, adakah Malaysia terutamanya melalui TLDM sudah menemui kapal yang sesuai untuk dijadikan aset terbaru pasukan itu bukan sahaja untuk mencari pengganti KD Sri Inderapura tetapi dalam usaha TLDM memiliki sebuah kapal MSS yang canggih dan mencapai tahap dominan bagi mengawasi perairan negara jika berlaku ancaman hebat.

KD Sri Inderapura kini telah musnah dan tidak boleh digunakan lagi akibat kerosakan total dalam kejadian kebakaran itu dan ia seperti sukar diperoleh di pasaran selain faktor alat ganti terlalu mahal.

Adakah TLDM akan membeli kapal baru itu dari Korea Selatan, Jerman atau Perancis bagi menggantikan KD Seri Inderapura. Kerajaan Korea Selatan juga dikatakan bersedia memberi sebuah kapal pendarat sebelum kapal baru disiapkan.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan membuka tender termasuk di peringkat antarabangsa untuk membuat penilaian mengenai harga, reka bentuk dan spesifikasi kapal sebelum membuat pembelian.

"Buat masa ini kita juga telah menghantar pegawai ke beberapa negara untuk meninjau dan membuat penilaian mengenai kapal tersebut," katanya.

Menurutnya, jika tiada sebarang masalah, kemungkinan kerajaan akan memulakan pembelian kapal menggantikan Inderapura pada pertengahan tahun ini.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sememangnya sudah ada perancangan ATM untuk memiliki kapal MSS bagi menyediakan keperluan ketiga-tiga perkhidmatannya dalam sesuatu misi.

Selepas tragedi kebakaran yang menimpa KD Sri Inderapura, hanya dua kapal logistik iaitu KD Sri Indera Sakti dan KD Mahawangsa yang tinggal dan situasi ini sangat meruncing untuk mengatur gerak keperluan-keperluan semasa yang sangat mendesak.

Sebagai peningkatan terhadap aset sedia ada di samping memperkasakan keupayaan mobiliti Angkatan Bersama ATM, kapal MSS sepatutnya berupaya untuk mengangkut pesawat helikopter, kenderaan-kenderaan seperti kereta kebal, kereta perisai dan anggota tentera dalam jumlah yang besar ke lokasi operasi yang dirancang.

Kapal logistik terbesar yang pernah dimiliki TLDM setakat ini ialah KD Sri Inderapura.

Kini, sudah tiba masanya negara memiliki sekurang-kurangnya sebuah kapal sokongan pelbagai guna atau MSS ke arah mengoptimumkan keupayaan pertahanan negara.

Walaupun bebas dan selamat daripada ancaman musuh, negara masih memerlukan peralatan dan kelengkapan yang gah. Jika tidak, negara akan ketinggalan dalam aspek kecanggihan teknologi perkapalan terkini.

Sekiranya perkara demikian tidak diambil kira, tidakkah negara luar akan melihat Malaysia masih menggunakan kapal lama dalam usaha menjaga perairan negara sekali gus beranggapan negara tidak serius dan mengambil ringan aspek keselamatan perairan negara.

-- Utusan Malaysia

Tuesday, January 26, 2010

Pendekar PT-91M: Igauan kepada musuh negara

Kereta kebal utama (MBT) PT-91M (foto : Utusan)

PEMBELIAN 48 buah kereta kebal utuma (MBT) PT-91M berserta sembilan kenderaan sokongan lain dari Poland pada 2003 telah mengubah landskap pertahanan negara khususnya bagi tentera darat.

Perolehan aset tersebut turut memberi penggandaan kuasa dan meningkatkan kuasa tembak yang belum pernah dirasai oleh Kor Armor Diraja sebelum ini.

Kereta kebal itu seterusnya dinamakan Pendekar, sesuai dengan peranannya sebagai mata dan hujung tombak ketumbukan tentera darat sama ada ketika melakukan operasi ofensif mahu pun semasa bertahan.

Penggandaan kuasa itu lahir kerana Pendekar mempunyai kemampuan mobiliti, kuasa tembak dan perlindungan armor yang sesuai dengan persekitaran muka bumi negara.

Paling menggerunkan, kuasa tembak daripada meriam Smoothbore 2A46MS berkaliber 125 milimeter buatan Slovakia dengan peningkatan ketepatan tembakan sehingga 23 peratus berbanding meriam asal. Ia mampu memusnahkan semua jenis kereta kebal yang ada di dunia pada hari ini sehingga jarak lima kilometer.

Kemampuan itu sudah pasti menjadi igauan ngeri kepada pihak yang berniat untuk mengganggu-gugat kedaulatan negara. Apatah lagi, sistem kawalan tembakan PT-91M menggunakan teknologi Savan 15 FCS ciptaan Perancis yang turut dipakai oleh kereta kebal moden mereka, AMX-56 Leclerc.

Gabungan teknologi Slovakia dan Perancis itu membolehkan meriam utama Pendekar memuntahkan sehingga 10 tembakan seminit bagi semua jenis peluru sama ada APFSDS, HEAT dan HE tanpa sebarang masalah - tidak kira ketika sedang bergerak laju atau dalam keadaan pegun.

Kegagahan PT-91M bukan hanya terletak pada meriam utamanya tetapi turut disokong dengan sistem navigasi SIGMA 30 dan blok armor reaktif ERAWA-2 pada bahagian hadapan, bumbung dan sisi hadapan. Ia bertujuan mengurangkan impak hentaman daripada sistem peluru berpandu anti-armor dan juga perobek armor.

Bagi tujuan meningkatkan daya pengesanan terhadap ancaman peluru musuh pula, Pendekar dilengkapkan dengan sistem penderia pancaran laser dan ia diintegrasikan pula dengan sistem grened asap.

Sebelum perolehan PT-91M dibuat, tentera darat bergantung sepenuhnya pada kereta kebal ringan Scorpion yang dipasang dengan meriam Cockerill 90 milimeter dalam melatih dan merangka doktrin peperangan kereta kebal yang sesuai.

Walaupun digelar sebuah kereta kebal ringan, prestasi mobiliti, kuasa tembak dan perlindungan Scorpion jauh ketinggalan berbanding Pendekar PT-91M.

Kini semua Pendekar PT-91M sudah diterima oleh Rejimen 11, Kor Armor Diraja yang berpangkalan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.


Sejarah pengoperasian kereta kebal

British dianggap sebagai negara pertama yang mencipta dan menggunakan kereta kebal iaitu pada Perang Dunia Pertama. Tetapi pada era tersebut, kereta kebal tidak mempunyai turet. Konsep turet buat pertama kali diperkenalkan oleh Perancis melalui kereta kebal jenis FT-17 pada tahun 1917.

Penggunaan kereta kebal pada masa itu hanya terhad bagi tujuan merempuh halangan seperti kawad berduri dan sistem perparitan bagi membuka jalan kepada pasukan infantri untuk menyerang dan menguasai pertahanan musuh.

Bagaimanapun, doktrin dan taktik penggunaan kereta kebal di medan tempur moden mula diperkenalkan oleh Jerman melalui taktik blitzkrieg (serangan kilat). Taktik ini menyaksikan Jerman mengoperasikan ketumbukan kereta kebal secara bersepadu dengan unit artileri dan infantri bagi membolosi sistem pertahanan musuh.

Taktik serangan itu ternyata berjaya menghalang bekalan logistik, memutus sistem komunikasi menyebabkan sistem arahan dan kawalan berada dalam keadaan kucar kacir.

Pada era pasca Perang Dunia Kedua dan perang dingin pula menyaksikan teknologi pembuatan kereta kebal, sistem persenjataan terus berkembang.

Ketika itu ia lebih tertumpu terhadap usaha mempertingkatkan sistem sedia ada termasuklah daripada segi penjanaan kuasa, jenis dan kaliber meriam utama serta pelbagai jenis penderia elektro-optik bagi membolehkan ia beroperasi siang dan malam.

Sementara itu, dalam konteks Malaysia, penggunaan kereta kebal di negara ini bermula pada 1957 ketika Jepun melancarkan kemaraan untuk menakluk Malaya. Ketika itu ramai pemikir ketenteraan berpendapat kereta kebal tidak sesuai diatur gerak di negara ini memandangkan keadaan tanah yang lembut.

Walaupun kurang mendapat liputan, pengoperasi kereta kebal di negara ini mempunyai signifikan tersendiri kerana setiap kemaraan tentera Jepun, didahului oleh unit kereta kebal mereka terlebih dahulu bagi mengasak pertahanan British.


PT-91M evolusi T-72

Sebenarnya pada peringkat awal perolehan Pendekar, ramai pemerhati ketenteraan termasuk bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempertikaikan keputusan kerajaan. Mereka menyifatkan PT-91M yang merupakan kesinambungan kereta kebal T-72 yang mudah 'diratah' oleh kereta kebal moden lain.

Pandangan-pandangan serong itu dibuat dengan mengambil contoh Perang Teluk 1991, Operasi Desert Storm serta Perang Chechen-Rusia yang menyaksikan ratusan kereta kebal T-72 menjadi mangsa tembakan daripada MBT seperti M1A1 Abrams dan Challenger 2 selain peluru anti kereta kebal dan RPG-7.

Namun, menggunakan persekitaran perang di Iraq dan Chechen bagi membandingkan kemampuan PT-91M dan T-72, ia adalah sesuatu yang tidak adil memandangkan persekitaran dan bentuk muka bumi negara berbeza dengan negara tersebut.

Di Iraq, Tentera Bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) mudah meratah unit armor Saddam Hussien kerana mereka telah menguasai sepenuhnya ruang udara Iraq dan ditambah lagi dengan versi T-72 yang dikeluarkan secara berlesen dengan nama Asad Babil tidak secanggih T-72 asal.

Manakala di Chechen pula, kemusnahan yang menimpa unit armor Rusia adalah disebabkan kesilapan taktik ekoran sikap terlalu yakin sehingga komander Rusia mengarahkan serbuan dibuat di kawasan perbandaran tanpa perlindungan daripada unit udara.

Akibatnya berpuluh-puluh kereta kebal dan perisai Rusia musnah dalam masa sehari selepas diserang hendap oleh pejuang Chechen dengan menggunakan senjata utama RPG-7.

Bagaimanapun bagi tentera darat, perolehan kereta kebal dibuat setelah kajian teliti dilakukan daripada pelbagai aspek. Salah satu aspek kritikal yang diberi perhatian ialah bentuk muka bumi negara yang diliputi oleh pokok, baik yang diusahakan sebagai ladang komersial mahupun hutan semula jadi.

Bagi kawasan yang mempunyai banyak hutan, pokok dan belukar seperti di negara ini, penggunaan kereta kebal juga tertakluk pada persekitaran muka buminya. Aplikasi penggunaan kereta kebal secara besar-besaran seperti yang dilakukan AS semasa menakluk Iraq tidak dapat dilakukan dengan sewenang-wenangnya di negara ini.

Malah Pendekar yang diperoleh tentera darat berbeza dengan versi asal PT-91A milik Poland kerana ia telah melalui transformasi intensif sehingga menjadikan ia setanding dengan kereta kebal 2A4 Leopard yang dimiliki oleh Singapura.


Doktrin dan taktik paling optimum bagi tentera darat

Perang Iraq, Chechen dan Lebanon merupakan pengajaran terpenting bagi tentera darat dalam menggubal doktrin yang berbentuk cairan atau fleksibel agar ia memberi kelebihan secara optimum kepada PT-91M sekiranya tercetus perang dengan negara luar.

Bagi tujuan itu, fokus tentera darat kini tertumpu pada usaha menggemblengkan pelbagai aset dan platform yang telah diperoleh agar ia dapat disepadukan menjadi satu angkatan yang berkemampuan dalam usahanya mempertahankan kedaulatan negara.

Hasrat itu lebih mudah apabila tentera darat kini telah mempunyai Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang mengoperasikan pesawat Agusta LUH-109 bagi tujuan peninjauan dan penyerang ringan.

Ia penting bagi memberi pendedahan awal kepada PUTD mengenai operasi bersama unit armor sebagai satu ketumbukan, sementara menanti perolehan helikopter penyerang yang sejati.

Kesepaduan antara unit armor dan pasukan sokongan udara penting bagi memberi perlindungan kepada pasukan kereta kebal daripada ancaman MBT, pasukan artileri dan anti armor musuh.

Pada masa yang sama juga, Kor Armor Diraja akan sentiasa seiringan dengan pasukan mekanise dan infantri dalam setiap operasi yang dilancarkan bagi memberi elemen sokongan kepada pasukan MBT.

-- Utusan Malaysia

Monday, January 25, 2010

Philippine Army acquires Upgraded Armored Personnel Carriers

Upgraded APC M113 (photo : Militatytoday.com)
As part of the AFP Modernization Program, the Philippine Army acquires six Upgraded Armored Personnel Carriers (APCs) which were formally turned over and subsequently commissioned to it in a ceremony at the General Headquarters, Camp Aguinaldo, Quezon City today.

The Undersecretary for Finance and Armed Forces Modernization Affairs, USEC Antonio L Romero II graced the Turn-Over and Commissioning Ceremony of the Upgraded APC M113 as Guest of Honor and Speaker, with the Ambassador of the Republic of Turkey to the Philippines, His Excellency Adnan Basaga as special guest. Also present was Army Chief Lt Gen Delfin N Bangit.

The Upgraded APC M113 Acquisition Project was programmed to increase equipment fill-up and operational readiness of Light Armor Division of the Philippine Army. It aims to improve the operational readiness through an increased equipment fill-up of the Light Armor Units, and to extend its life cycle for another 15 years and improve its capabilities and performance in terms of mobility, firepower, communication, survivability and maintainability. The APC M113 is envisioned to be an armored fighting vehicle, multi-purpose, armor-protected vehicle for ground operations and troop insertion.

The upgrading of the APC M113 armored vehicle was in line with RA 7898 otherwise known as the AFP Modernization Act enacted on February 23, 1996. The acquisition of the Upgraded APC M113 underwent a process of public bidding and the contract was subsequently awarded to the FNSS Savunma Sistemleri, a Turkish company.

According to Lt Gen Bangit, this latest acquisition is a big boost to the armor asset of the Philippine Army. This would be deployed in priority areas of the country.

Wednesday, January 13, 2010

MB 339 CM- Pesawat Latihan Terkini TUDM

Pesawat latihan MB-399C yang sedang digunakan untuk melatih juruterbang pesawat tempur TUDM

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah memperolehi lapan buah pesawat latihan lanjutan jenis MB-339 dari firma Alenia Aermacchi dengan nilai USD140 juta yang juga termasuk kos keperluan alat ganti, peralatan krew landasan serta pelbagai perkhidmatan lain untuk tempoh dua tahun.

Kontrak ini juga termasuk melatih para sejumlah juruterbang TUDM agar dapat memahirkan diri dengan pesawat tersebut pada awal tahun ini. Pesawat satu temnpat duduk dan dua enjin ini adalah merupakan pesawat latihan terkini yang akan membolehkan seorang juruterbang asas untuk mempersiapkan dirinya mengendalikan pesawat yang lebih berkemampuan tinggi, setelah dapat memahirkan diri dalam kemahiran penerbangan asas, yang lazimnya dibuat menggunakan pesawat berkipas seperti pesawat Pilatus PC-7. Bagi tujuan tersebut pesawat dilengkapkan dengan sistem avionik yang moden dengan paparan antara muka antara pengendali dan pesawat termasuk sistem data paparan hadapan atau HUD (Head Up-Display) serta tiga paparan pelbagai fungsi digital pada kokpit hadapan dan belakang. Sistem arahan dan kawalan juga mempunyai perisian yang boleh digunakan sebagai penyelaku operasi yang rumit. Selain itu lain-lain fungsi yang boleh diintegrasikan dalam sistem pesawat adalah peta diigital, kokpit yang serasi dengan gogel pandang malam, sistem radio komuniaksi yang baru selain dari sistem tanda pengenalan kawan atau lawan (IFF – Identification Fried or Foe). Setiap pesawat boleh juga dipasangkan dengan sistem pod latihan tempur udara atau ACMI (Autonomous Air Combat Manouevring Instrumentation) , sistem keselamatan seperti perekod data dan sistem isyarat kecemasan automatik (ELT – Emergency Locator Transmitter) mampu dipasangkan pada setiap pesawat. Pesawat MB-399CM bakal menggantikan pesawat latihan MB-399A yang telah digunapakai selama 20 tahun
--Tempur

Thursday, December 3, 2009

KD Sultan Badlishah ditauliah

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menandatangani batu asas Pengkalan TLDM Langkawi KD Sultan Badlishah (foto : malaysianmil.com)

Pembinaan pangkalan Tentera Laut Diraja (TLDM) di Langkawi merupakan keputusan strategik Kementerian Pertahanan bagi memantau kemasukan kapal-kapal di Selat Melaka dan sekaligus menjaga keutuhan serta integriti perairan barat laut Semenanjung Malaysia.

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang bertitah demikian percaya dengan adanya pangkalan itu, keselamatan perairan Langkawi khususnya akan lebih terjamin.

"Selain berperanan memantau selat tersibuk di dunia, Selat Melaka, pangkalan ini menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi serta kemakmuran negeri Kedah amnya,” titah baginda sempena istiadat penamaan dan pentauliahan kapal TLDM ”KD SULTAN BADLISHAH” di Pangkalan TLDM di Tanjung Limbong di sini, hari ini.

Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidon, Sultan Selangor yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM, Sultan Sharifuddin Idris Shah, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Jeneral Azizan Ariffin dan pegawai-pegawai kanan tentera daripada ketiga-tiga cabang, laut, udara dan darat menghadiri majlis itu.

--Bernama

Saturday, November 14, 2009

MERIAM 155mm G5 TDM

Tentera Darat Malaysia adalah antara beberapa negara yang menggunakan sistem artileri atau meriam G-5 buatan Afrika Selatan bagi memberikan tembakan sokongan atau mengharu di medan tempur. Keputusan untuk memperolehi sistem meriam G5 dibuat oleh TDM pada tahun 2000. Meriam tersebut dibekalkan dengan sistem komputer kawalan tembakan AS2000. Untuk mempertingkatkan daya mobilitinya setiap meriam dipadankan dengan kenderaan jenis MAN 6x6 buatan Jerman yang telah diubah reka bentuk kabinnya oleh firma tempatan DEFTECH agar dapat memenuhi kehendak tugasan khas membawa sistem meriam G5.
Perolehan dilakukan dalam tempoh jangkamasa tiga tahun. Penghantaran pertama G5 ke Malaysia dilakukan pada tahun 2001 dengan sejumlah 28 laras meriam, penghantaran kedua adalah pada tahun 2002 dengan 22 laras meriam dan penghantaran terakhir adalah pada 2003 dengan sejumlah enam meriam G5 yang terakhir.

Latar belakang

Meriam G-5 mempunyai sejarah yang agak unik kerana ia melibatkan isu pencipta sistem persenjataan tersebut yang penuh kontroversi. Reka bentuk dan sistem mekanikal asal meriam tersebut adalah dari sistem meriam GC-45 berkaliber 155mm yang telah dihasilkan oleh firma ‘Canadian Space Research Corporation’ dan diguna pakai oleh pihak tentera laut Thailand bagi kegunaan pasukan Marin mereka pada awal tahun 1970an apabila sejumlah 18 laras meriam diperolehi mereka. Individu yang bertanggungjawab mencipta meriam tersebut adalah Gerald Bull. Meriam GC-45 menjadi popular dan beberapa negara lain turut sama menghasilkan sistem yang hampir sama. Antaranya adalah firma NORICUM dari Austria yang menghasilkan meriam yang dinamakan sebagai GHN-45 dan juga pihak Afrika Selatan yang menghasilkan sistem meriam tersebut dengan klasifikasi sebagai G-5. Beberapa negara lain turut membina meriam masing-masing menggunakan teknologi artileri yang dihasilkan oleh Bull. Israel menghasilkan sistem meriam yang dinamakan Soltam 845P, Singapura dengan sisten ODE FH-88 dan China dengan meriam WA 021. Kerja-kerja beliau dengan rejim Kulit Putih di Afrika Selatan telah menarik perhatian Amerika Syarikat dan ketika Rumah Putih mula menyokong sekatan perdagangan persenjataan, pihak kastam Amerika Syarikat telah menahan Bull pada tahun 1980. Beliau kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama setahun kerana mengingkari perintah sekatan yang telah dikenakan terhadap Afrika Selatan oleh masyarakat global. Sebaik keluar dari penjara Bull telah berhijrah ke Belgium dan meneruskan kajian serta penciptaan sistem artileri yang lebih moden serta efektif.

Apabila Perang Iraq/Iran meletus, tentera Iraq mendapati bahawa sistem artileri mereka gagal menyaingi jarak serta keberkesanan sistem meriam Iran. Terdesak dengan keadaan ini, Iraq telah memesan sejumlah 110 meriam GHN-45 dari firma NORICUM di Austria 41,000 butir peluru dari Belgium. Antara tahun 1984 dan 1985 sejumlah besar dari meriam tersebut telahpun diperolehi oleh tentera Iraq, malah pada ketika itu jumlah sebenar meriam GHN-45 yang diperolehi oleh tentera Saddam Hussein diberitakan mencecah kepada 200 laras meriam. Perolehan tersebut bukanlah seseuatu yang mudah hendak dilaksanakan kerana pada ketika itu masyarakat dunia telah mengenakan sekatan senjata kepada kedua-dua negara yang bertelagah. Seperti yang berlaku di Angola ketika tentera Afrika Selatan dan gerila proksinya bertempur dengan tentera rejim Komunis Angola, tentera Iraq mendapati meriam ciptaan Bull mempunyai jarak dan kuasa tembakan yang amat efektif.

Sunday, September 6, 2009

TLDM cadang tambah kapal selam

Gambar armada kapal selam kelas Ming (foto : www.spacewar.com)
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mengemukakan cadangan menambah bilangan kapal selam bagi membentuk satu skuadron yang lebih mantap pada masa akan datang.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, perancangan untuk menambah bilangan kapal selam itu sedang diteliti sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

‘‘TLDM sedar dengan kepentingan menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara daripada anasir luar.

‘‘Kita akan mencadangkan kepada kerajaan supaya menambah lagi bilangan kapal selam sedia ada bagi keperluan di masa depan,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan ketibaan KD Tunku Abdul Rahman (TAR).

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan mencemar duli menyambut ketibaan kapal selam tersebut di pangkalan operasi TLDM di sini lewat petang semalam. Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Abdul Aziz diminta mengulas cadangan Panglima Tentera Laut pertama, Laksamana (B) Tan Sri K. Thanabalasingam yang berpendapat TLDM memerlukan sekurang-kurangnya enam unit kapal selam bagi membentuk satu skuadron yang boleh beroperasi tanpa halangan.

Menurut Thanabalasingam, sekiranya salah sebuah daripada kapal selam negara mengalami kerosakan dan terpaksa dibaiki dalam tempoh lama, maka hanya ada sebuah lagi yang mampu beroperasi di laut.

Sementara itu, Abdul Aziz memberitahu, kapal selam kedua negara, KD Tun Razak akan memulakan pelayaran ke tanah air pada 26 Januari depan dan dijangka tiba dua bulan kemudian.

Beliau berkata, ketika ini kapal selam itu sedang menjalani fasa kedua ujian di perairan Cartagena, Sepanyol oleh Navantia, syarikat yang bertanggungjawab membuat kapal selam tersebut.

‘‘KD Tun Razak dijadual diserah secara rasmi kepada TLDM pada 25 Oktober ini dan memulakan pelayaran ke Malaysia pada 26 Januari 2010,’’ katanya.

Menurut Abdul Aziz, KD TAR akan berada di pangkalan TLDM Lumut sehingga 10 September ini sebelum belayar dan dijadual tiba di pangkalan Teluk Sepanggar pada 17 September ini.

KD TAR dikendalikan Komander Zulhelmy Ithnain bersama 35 krew, tiba di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah, Selangor, Khamis lalu selepas perjalanan selama 55 hari mulai 11 Julai dari Toulon, Perancis.


-- Utusan Malaysia