Monday, October 20, 2008

Hebat sangatkah Scorpene SSK Malaysia

Tiub torpedo terbuka dan meluncurkan Exocet SM-39 (foto : francenaval.com)
Scorpene SSK (foto : Militaty today)

“BETA dengan ini menamakan kapal selam ini ‘Tun Razak’ dan melancarkannya.

Semoga Allah merahmati dan melindungi semua yang belayar bersamanya,” titah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di Pelabuhan Cartagena, Sepanyol, baru-baru ini.

Pelancaran kapal selam kedua itu menandakan Malaysia kini secara rasmi memiliki dua kapal selam jenis Scorpene, selepas kapal selam pertama yang dinamakan Tunku Abdul Rahman dilancarkan di Perancis, tahun lepas.

Sebut sahaja kapal selam, semua orang akan terbayangkan kehebatan kapal berbentuk seperti ikan paus dengan bentuk lonjong yang sudah tentu banyak digunakan oleh angkatan tentera laut, selain untuk penyelidikan saintifik dan rekreasi.

Bagi yang digunakan untuk angkatan tentera, sudah tentu kapal selam sangat digeruni kerana kemampuannya untuk menghampiri kapal musuh tanpa dapat dikesan dan kemudiannya melakukan serangan mengejut.

Disebabkan kehebatan teknologinya, tidak semua negara mampu memiliki kapal tersebut kecuali negara-negara maju yang menciptanya sendiri atau negara sedang membangun yang membelinya untuk tujuan perlindungan perairan masing-masing.

Bagi Malaysia, pembelian kapal selam merupakan sebahagian daripada usaha pemodenan angkatan tentera negara di samping untuk tujuan melindungi perairan negara daripada sebarang ancaman.

Ia juga mempunyai motif ekonomi seperti membantu kapal-kapal dagang, melindungi paip-paip gas dan minyak serta talian komunikasi bawah laut.

TLDM amat memerlukan kapal selam sendiri kerana perairan Laut China Selatan merupakan laluan kapal kedua paling sibuk di dunia dan jika berlaku konflik, laluan Selat Melaka turut terjejas.

Kedua-dua kapal selam jenis Scorpene berteknologi Perancis yang dimiliki Malaysia dibina oleh DCN Shipyard International (DCNS) dari Perancis dengan kerjasama rakan perniagaannya, Navantia dari Sepanyol.

Menurut Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar, pemilikan dua kapal selam itu oleh Malaysia bukan bertujuan menandingi keupayaan tentera laut mana-mana negara di rantau ini.

“Ia adalah satu keperluan keupayaan yang perlu dimiliki mana-mana tentera laut,” katanya ketika ditemui di Cartagena, Sepanyol, limbungan tempat pembinaan kapal selam kedua negara disiapkan pada majlis pelancaran kapal selam Scorpene kedua negara.

Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong itu turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Panglima Tentera Laut Sepanyol, Almirante General Manuel Rebollo Gargia.

Sememangnya, Malaysia hanya merupakan negara ketiga yang memiliki kapal selam di rantau ini selepas Singapura dan Indonesia.

Singapura telah memiliki empat kapal selam dari kelas Challenger dan Tentera Laut Singapura telah memiliki ketumbukan empat kapal selam iaitu RSS Challenger, RSS Centurion, RSS Conqueror dan RSS Chieftain.

Manakala, Tentera Laut Indonesia (TNI-Laut) juga mempunyai dua aset kapal selam kelas T-209 yang masing-masing dinamakan Cakra dan Nanggala. Indonesia juga dijadualkan menerima empat kapal selam dari Korea Selatan tahun ini.

Menurut kajian, negara-negara di rantau Asia Pasifik dijangka membeli sejumlah 841 buah kapal menjelang 2016 dan 83 buah kapal selam telah ditempah oleh China, Korea Selatan, Jepun, Malaysia, Singapura, India, Pakistan, Indonesia dan Taiwan.

Bagi Malaysia, pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai RM3.4 bilion itu sememangnya menjadi kebanggaan rakyat negara ini kerana ia merupakan dua kapal selam yang pertama dimiliki TLDM.

Pemilikan kapal-kapal selam oleh Singapura, Indonesia dan Malaysia sudah tentu membuka peluang untuk kerjasama ketiga-tiga sama-sama mengawal perairan Selat Melaka daripada ancaman lanun dan pendatang haram.

Kelebihan Scorpene

Apakah kelebihan Scorpene sehinggakan Malaysia berminat untuk memiliki kapal selam berteknologi Perancis yang turut digunakan oleh negara Chile dan terkini, India yang turut menempah enam buah kapal selam tersebut?

Kapal selam moden ini dilengkapi dengan senjata terkini, kemampuan menyelam lebih lama, kelajuan tinggi, menyelam lebih dalam, bunyi yang senyap dan pengurusan sistem peperangan terkini.

Jika anda membuat sedikit kajian di Internet mengenai Scorpene, tentu akan mendapati terdapat beberapa laman web yang menyatakan mengenai kehebatan kapal selam berteknologi Perancis itu.

Kehebatan utama yang diutarakan mengenai kapal selam menggunakan diesel dan elektrik sebagai sumber tenaga itu ialah kemampuannya beroperasi dengan sangat senyap.

Dengan kemampuannya itu, sudah tentu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak agak digeruni kerana kemampuan mengesan kapal musuh dan seterusnya mengelak daripada dikesan merupakan ciri paling penting untuk sesebuah kenderaan perang sama ada di darat, udara dan laut.

“Kehadiran kapal selam sememangnya sukar dikesan oleh mana-mana kapal dan ini juga memberi peluang kapal selam kita beroperasi tanpa dikesan oleh mana-mana bakal musuh negara,” kata Abdul Aziz.

Beliau berkata, kehadiran kapal selam mampu menjadi force multiplier asset kepada TLDM kerana ia boleh melaksanakan beberapa tugasan seperti pengawasan, pemantauan, perisikan dan untuk tugasan lain di bawah air.

“Ia juga boleh digunakan untuk misi mematahkan serangan musuh kerana ia boleh melancarkan bukan sahaja torpedo dan peluru berpandu tetapi juga boleh melancarkan anggota pasukan khas laut,” tambahnya.

Kapal selam jenis tempur konvensional itu mempunyai kemampuan membawa peluru torpedo, peluru berpandu dan pemusnah periuk api serta mampu beroperasi mengawasi perairan negara pada kedalaman sehingga 300 meter.

Antara kelengkapan Scorpene ialah enam tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak iaitu peluru berpandu antikapal permukaan dan torpedo antikapal selam.

Tiub torpedo Scorpene boleh menggunakan peluru torpedo dari F17, BlackShark dan Mk48 serta peluru berpandu Exocet.

Sebenarnya, kapal selam Scorpene mempunyai tiga jenis iaitu Basic, Basic-AIP dan Compact, yang mana Chile dan Malaysia telah memilih model Basic yang boleh dipertingkatkan di masa depan.

Perbezaan ketara antara model Basic dengan Basic-AIP ialah sistem AIP (air-independent propulsion) sehingga membolehkan Scorpene digelar sebagai antara kapal selam paling senyap di dunia.

Walaupun model kapal selam Malaysia kini tidak dilengkapi dengan sistem Mesma AIP yang digeruni oleh kapal-kapal selam lain tetapi sistem itu boleh dipasang bila-bila masa selepas ini walaupun kapal itu telah siap dibina.

Jika Scorpene dilengkapi dengan sistem AIP, ia dikatakan sangat sukar dikesan dan kesenyapannya dikatakan mampu menandingi kapal selam nuklear Amerika Syarikat yang paling senyap.

Bagaimanapun, secanggih mana teknologi kapal selam itu, faktor utama yang menentukan kejayaannya sudah tentu ‘tangan-tangan’ yang mengendalikannya.

Bagi TLDM, kapal selam dengan kemampuan membawa 31 anggota dalam satu-satu masa itu seharusnya mempunyai anggota terlatih dan seramai 142 anggota TLDM kini menjalani latihan di Brest, Perancis, bagi menyiapkan mereka sebagai pengendali Scorpene.

Bagi bakal krew kapal selam KD Tun Razak, Saad Rabani yang merupakan juruteknik elektrik, Scorpene merupakan kapal automatik berkuasa tinggi berbanding dengan kapal yang mereka gunakan semasa latihan sekarang (Agosta).

“Terdapat banyak peralatan automatik di dalam Scorpene yang mengurangkan penggunaan krew.

“Ia sebuah kapal selam kompak yang memerlukan seseorang mempunyai kekuatan mental kerana seseorang itu perlu mengendalikan beberapa tugas,” katanya.

Walau apa sahaja cabaran yang dihadapi anggota tentera untuk mengendalikan kapal selam, sudah tentu ia menjadi satu kebanggaan kepada negara ini yang tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk melindungi kedaulatan negara.

Malaysia yang sentiasa mengutamakan meja perundingan dalam menghadapi sebarang krisis atau konflik sememangnya akan lebih dihormati selepas ini apabila juga bersedia melindungi diri sendiri jika diancam secara kekerasan.

--Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment